Tuesday, September 11, 2007

Perhimpunan Agung UMNO



Berita : 09 November 2007
09 November 2007 : Derma organ, darah: Jeanne pamer teladan mulia
KUALA LUMPUR 8 Nov — Datin Seri Jeanne Abdullah hari ini mempamerkan teladan mulia selaku isteri Perdana Menteri apabila beliau turut menderma darah serta mendaftar sebagai penderma organ sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2007 di sini.
Beliau yang sebelum ini pernah beberapa kali menderma darah turut mengajak rakyat berbilang kaum di negara ini untuk turut berbuat demikian khususnya menderma organ bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Semua patut menderma (darah dan organ). Kita kena fikir seperti ini, kalau kita yang sakit dan perlu organ, kita juga tentu berharap supaya ada orang yang tolong menderma organ. Saya fikir macam tu.
“(Selain itu) Bila menderma darah, muka kita akan menjadi lebih cantik dan lebih sihat, betul tak?,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menderma darah.
Jeanne yang mempunyai darah jenis “A” turut berkata dua anak perempuannya juga sudah mengambil borang pendaftaran untuk menjadi antara penderma organ.
Terdahulu, Jeanne tiba di bilik promosi kesedaran kanser dan kesihatan, Dewan Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 9.30 pagi ini sambil diiringi Penasihat Kehormat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Datuk Zuraidah Atan.
Kempen menderma darah merupakan anjuran Pergerakan Puteri Umno manakala pendermaan organ anjuran Pemuda Umno yang bermula mulai Isnin lepas sempena perhimpunan parti yang berakhir esok.
Ketika ditanya, Jeanne turut melahirkan perasaan gembira apabila pertama kali menghadiri perhimpunan itu sebagai isteri kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. “Memang seronok... tahun ini mereka matang dengan fokus kepada satu tujuan semuanya untuk kebaikan negara,” katanya.
Katanya, Abdullah telah menyediakan satu ucapan dasar yang menyeluruh dan padat supaya semua perwakilan memahami apa yang disampaikannya.
“Dan kita semua akan dengar lagi (ucapan Abdullah) esok dalam ucapan sesi penggulungan,” katanya.-Bernama

No comments: