Oleh Umi Hani Sharani dan Nor Baizura Basri
PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) — Berikut ialah ringkasan wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pengulas BERNAMA TV (BTV) Datuk Zuraidah Atan di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di sini, pada Jumaat. Wawancara itu menyentuh mengenai pasaran saham, keyakinan pelabur, dasar ekonomi dan projek-projek selepas pilihan raya.
BTV: Selepas berakhirnya pilihan raya umum, kita semua tahu bagaimana keadaan pasaran saham atau bursa. Ia tidak menentu dan pasaran memerlukan sedikit keyakinan. Apakah pesanan Datuk Seri kepada pelabur.PM: Saya perlu memastikan mereka mempunyai keyakinan terhadap kerajaan. Itu sangat penting. Perkara pertama yang saya perlu lakukan ialah membentuk Kabinet. Saya mahu memastikan orang ramai yakin terhadap Kabinet. Sudah tentu akan ada muka-muka baru.
Dan pada masa yang sama saya mahu memastikan mengenai dasar-dasar yang telah kami laksanakan sebelum ini. Dasar-dasar yang baik, adakah kami akan teruskannya atau tidak atau adakah kami menukarnya untuk dasar-dasar lain.
Dasar-dasar yang menambat keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan akan dikekalkan terutamanya dasar-dasar yang berfungsi dengan baik. Ia akan terus menjadi mesra pelabur.
Dan sebarang insentif yang kami rasa akan merangsangkan lagi keyakinan, pastinya kami akan pertimbangkan, tetapi buat masa ini kami belum memikirkannya lagi.
Bagaimana kami menangani inflasi dan kenaikan harga minyak sekarang. Apa yang kami lakukan. Ini adalah isu-isu yang sangat besar. Saya yakin kami berupaya menangani perkara ini.
Menangani inflasi sangat penting.
Pada masa yang sama, saya mahu melihat ekonomi kita terus dikekalkan. Kita perlu mengekalkan kemampanan ekonomi kita pada tahap tertentu. Kita akan berusaha mecapainya, saya tidak pasti bagaimana ia boleh dicapai tetapi kita mahukan pertumbuhan ekonomi mampan pada tahap tertentu dengan mengambil kira apa juga keadaan yang kita ada, ekonomi perlu terus mampan.
Menguruskan ekonomi perlu cekap dan hubungan antara kerajaan Malaysia dan sektor swasta perlu diteruskan. Program transformasi yang melibatkan kerajaan dan pentadbiran dan sektor swasta terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu diteruskan, ini benar-benar amat penting kepada saya.
Dan kami perlu memastikan kita menikmati keselamatan dan keamanan sepanjang masa, itu merupakan prasyarat paling penting. Bagaimana kami menguruskan kerajaan, itu akan diperhati dengan berhati-hati. Apa yang kami janjikan, kami akan laksanakan. Program yang kami telah komited, kami akan laksanakan.
Projek-projek baru yang kami telah berjanji untuk dilancarkan di bawah rancangan pembangunan koridor, itu pastinya kami akan laksanakan. Jika ia melibatkan kerajaan negeri, kami akan berbincang dengan mereka. Ini yang perlu kami lakukan dan saya pasti sektor swasta berminat dan yakin dengan apa yang kami lakukan.
Kami setiap masa sedar, kemampanan ekonomi perlu dikekalkan.
BTV: Sudah semestinya ini merupakan antara yang dibimbangkan, berkaitan dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang. Dari sudut pandangan komuniti pelabur antarabangsa, adakah akan terdapat perubahan dalam dasar.
PM: Kami tidak perlu menukar dasar. Dasar-dasar yang dilancarkan telah dipertimbangkan dengan begitu teliti. Dan sudah tentunya kami perlu berurusan dengan negeri-negeri yang kini berada di bawah pembangkang atau dikuasau parti lain. Kami perlu membincangkannya.
Kami telah berbincang dengan PAS sebelum ini. PAS menjadi parti pembangkang yang menguasai Kelantan. Dan seterusnya kami perlu berbincang dengan empat lagi negeri yang kini berada di bawah parti lain. Tidak menjadi masalah kepada saya untuk berbincang dengan mereka.
Apa juga projek yang kami putuskan untuk dilaksanakan, projek yang telah diberi peruntukan dan yang kami telah komited, sudah tentu ia akan menjadi keutamaan kami untuk dilaksanakan. Tetapi jika atas alasan tertentu mereka tidak mahu projek-projek baru, bagaimana saya boleh memaksa mereka dengan projek-projek baru. Namun begitu, kami mengawal projek-projek persekutuan.
BTV: Jadi maksudnya projek-projek dilulus persekutuan akan diteruskan, projek-projek yang telah diberi peruntukan dan kerajaan telah komited akan diteruskan.
PM: Ya.
BTV: Menyentuh mengenai pelaburan asing berkaitan dengan ekuiti swasta, persoalan yang lazim akan ditanya oleh orang ialah, bagaimana pandangan kerajaan persekutuan sekiranya pelabur-pelabur ini melabur di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.
PM: Saya tidak akan membantah. Mengapa perlu saya bantah pelaburan dari luar negara untuk melabur di negeri-negeri ini sekiranya terdapat peluang. Ya tentu saja, teruskan, saya tidak akan menghalang mereka daripada berbuat demikian sekiranya ia baik untuk rakyat.
BTV: Nyata sekali, apabila kita menyentuh mengenai projek-projek, terutamanya di negeri Datuk Seri sendiri iaitu Pulau Pinang seperti jambatan kedua dan monorel, adakah ia masih akan diteruskan.
PM: Ia telahpun diluluskan dan kami telah membincangkan pinjaman dengan kerajaan China dan pinjaman yang sangat wajar dan dengan kadar faedah yang sangat munasabah. Saya tak nampak mengapa kita tidak perlu memulakan projek jambatan kedua. Jambatan kedua perlu untuk Pulau Pinang. Ia bukan hanya bagi negeri Pulau Pinang, tetapi bagi keseluruhan wilyah utara. Pulau Pinang merupakan hab logistik bagi koridor utara.
Kita perlukan jambatan kedua. Ia baik untuk rakyat dan juga untuk ekonomi.
BTV: Bagi penggal pertama pemerintahan, keutamaan datuk seri ialah pertanian yang diterima dengan baik oleh rakyat. Penyusunan semula GLC dan sudah tentunya penubuhan pelbagai koridor ekonomi. Tetapi dengan penggal kedua sekarang, apakah yang menjadi teras utama datuk seri dalam rancangan ekonomi.
PM: Macam inilah. Kami telah membangunkan banyak program sepanjang empat tahun lepas dan kami mula melaksana untuk melancarkannya. Pembangunan koridor merupakan yang terakhir akan dilancarkan. Kami telahpun melancarakannya dan oleh itu saya tidak boleh membiarkannya dan memikirkan dasar-dasar baru lain.
Dasar-dasar telah dibentuk, program telah diputuskan, wang telah diperuntukkan. Jadi untuk 2008, banyak pelaksanaan telah dilaksanakan.
BTV: Ini adalah untuk susulan.
PM: Ini adalah untuk susulan. Kami yakin projek-projek tersebut yang kami lancarkan adalah projek-projek yang baik, baik untuk ekonomi kita, baik untuk negara, baik untuk rakyat. Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan, banyak pelabur masuk, ia akan mewujudkan kekayaan baru, peluang baru kepada kita.
Tiada sebab mengapa saya harus hentikan hanya kerana sekarang kami mempunyai beberapa (negeri yang) tidak menjadi milik BN. Saya akan terus berbuat demikian. Kami perlu melaksanakannya. Terdapat tempat-tempat lain juga (di mana pembangunan perlu dilaksanakan).
Kawasan koridor pertanian kini dikuasai oleh parti lain. Sabah masih berada di bawah Barisan, Sarawak masih di bawah Barisan, sebagai contoh.
BTV: Jadi, pertanian merupakan teras utama.
PM: Bagi keutamaan yang telah ditentukan sebelum ini, kami telah mencapai kejayaan. Sektor pertanian mencatatkan prestasi baik bukan sahaja sektor perladangan tetapi juga sektor tahap ketiga. Jadi mengapa saya harus berhenti setengah jalan.
BTV: Jadi, akan ada lebih banyak teras, lebih banyak peningkatan.
PM: Kami perlu mempunyai (peningkatan). Saya bersetuju dengan anda. Kami harus menggunakan perkataan peningkatan dan pada masa yang sama, kami mempunyai projek baru untuk dilaksanakan. Saya akan laksanakan. Terdapat banyak perkara yang kami telah lancarkan. Kami terus melancar tetapi bukan melaksana.
BTV: Akan ada banyak pengumuman. Saya gembira datuk seri berkata demikian kerana ini merupakan antara perkara yang ramai orang memperkatakannya.
PM: Terdapat banyak pada 2004. Pada 2004, semasa kami datang, kami datang dengan asas manifesto yang rakyat sangat gembira dengannya. Tetapi manifesto 2004 mempunyai begitu banyak perkara yang tidak boleh dilaksanakan antara 2004 dan 2008.
Banyak perkara yang kami kata mahu lakukan, saya berhasrat untuk melaksanakannya sehingga tahun 2020 kerana kami mempunyai tempoh tiga rancangan pembangunan lima tahun. Kami perlu menggabungkannya. Ia permulaan fasa kedua pembangunan bagi wawasan 2020. Dan ia perlu dilakukan selangkah demi selangkah.
Ia melibatkan beberapa program jangka panjang, beberapa masalah dan sebahagian boleh dilaksana dan diselesaikan dalam tempoh empat tahun lepas yang telah dilakukan. Begitu banyak bahagian yang kami boleh usahakan. Saya gembira untuk menyatakan bahawa rakyat masih mahukan kami.
Kita masih diberikan mandat yang baik.
Sebenarnya majoriti itu kuat. Ia bukannya menjadikan kita susah untuk bekerja. Tentunya tidak. Saya tidak percaya dengan majoriti yang kurang daripada sepertiga, kita menjadi tidak berupaya atau lumpuh atau kita menjadi tidak bermaya dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Kita boleh.
Kita boleh menjadi kerajaan yang kuat, dan saya berhasrat menubuhkan kerajaan yang kuat.
BTV: Mungkin ada halangan psikologi berhubung majoriti dua pertiga.
PM: Rakyat sudah terbiasa dengan itu (majoriti dua pertiga), tiba-tiba kita capai kurang daripada itu.
BTV: Tetapi, Datuk Seri masih mentadbir kerajaan, itu yang penting.
PM: Saya akan mentadbir kerajaan. Saya yang bertanggungjawab.
BTV: Kita bercakap tentang sentimen pasaran. Ia sentiasa mencerminkan keyakinan dan sebagainya. Melihat kepada ekonomi dunia, seperti yang kita sedia maklum AS telah menjadi rakan dagang kita dan negara itu kini mengalami kelembapan. Kata orang ia menuju ke arah kemelesetan. Jadi, itu akan menjejaskan kita tetapi pada masa yang sama, saya percaya kita ada lebihan dagangan yang kukuh. Adakah Datuk Seri merasakan ekonomi kita cukup kukuh, adakah ia berdaya tahan.
PM: Pada dasarnya, ekonomi kita kukuh. Kita telah mempelbagaikan pasaran kita, kalau boleh saya gunakan ungkapan itu. Kita telah mempelbagaikannya.
Kita tidak bergantung semata-mata kepada pasaran AS sahaja.
Hari ini, dari segi jumlah dagangan, dari segi peratusan, kita lebih banyak berurusan dengan Asean. Dagangan kita dengan negara-negara Asean telah meningkat kepada 26 peratus.
Dagangan dengan AS kurang daripada 18 peratus, 16 peratus lebih. Dan kita lebih banyak berdagang dengan negara-negara Asia Timur, dengan Jepun, China.
China juga adalah rakan dagang terbesar bagi kita.
Kita sedang membina hubungan perdagangan baru dengan India yang kita anggap sebagai rakan kongsi strategik yang sangat penting, malah sekarang lebih banyak perdagangan dengan Timur Tengah.
Jadi, kita berpuas hati. Kita berada pada kedudukan yang baik di rantau ini, yang diharapkan dapat memperlihatkan prestasi baik. Kita perlu ingat itu. Jadi, kita akan teruskan apa jua yang kita lakukan.
Kita dapat mandat, tetapi kita mesti pilih apa yang terbaik untuk dimajukan, projek apa, sektor apa yang harus kita bangunkan, yang boleh memberikan kita kelebihan daya saingan, sesuatu yang berbeza daripada orang lain.
Misalnya, kalau kita bercakap tentang pelancongan, banyak negara yang mahu menggalakkan pelancongan, betul tak, Tetapi apa yang istimewa tentang Malaysia, apa yang unik dan berkesan tentang Malaysia ialah kita mahu melakukannya. Ini adalah sesuatu yang kita mahu lakukan. Kita perlu memastikan kedudukan kita tetapi kita mesti lakukannya dengan cekap, barulah kita dapat pulangan terbaik daripada apa yang kita lakukan.
Kita perlu menambah baik banyak bidang. Contohnya, saya rasa (bidang) yang boleh (ditambah baik) ialah perkhidmatan kewangan Islam, ini adalah sesuatu yang merupakan bidang kepakaran kita. Kita boleh mengembangkannya, ia boleh berkembang, ia sedang berkembang hari ini.
Kemudian, bidang bioteknologi. Pembangunan biotek sebagai sebuah industri. Kita berada pada kedudukan yang baik untuk melakukannya. Kita boleh lakukannya. Ini industri baru.
Oleh itu, kita mesti gunakan sumber-sumber kita dan dapatkan orang yang sesuai.
Dan yang pentingnya, kita perlu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan. Bagi saya, aset paling penting yang kerajaan perlu ada ialah produk yang satu ini, yang dipanggil modal insan. Kita perlu ada pengurus yang cekap, juruteknik yang cekap.
Kita mesti ada orang yang pakar dalam banyak bidang, orang yang melabur dalam pengetahuan, teknik pengurusan.
Jadi, inilah orang yang membuat Malaysia bergerak. Inilah orang yang akan mempunyai kekuatan minda dan ketinggian ilmu untuk menghadapi cabaran, menghadapi masalah, kemelesetan, apa saja. (Jika) mereka cukup kuat, kita akan selamat. Jika modal insan tidak kuat, walau kelengkapan terbaik, kemudahan terbaik (sekalipun) tidak akan membantu kita.
(Yang dapat membantu kita) ialah lelaki dan wanita Malaysia yang terpelajar, yang bersedia untuk bersaing dan menang, dan cekap dalam apa yang mereka lakukan.
Inilah satu perkara, satu keutamaan yang akan saya berikan perhatian.
BTV: Jadi, boleh saya andaikan ini adalah satu daripada cabaran-cabaran utama yang akan dihadapi Datuk Seri dan Kabinet baru Datuk Seri.Cabaran ekonomi, dan jangan lupa, ada juga tekanan inflasi yang mula muncul dan menjadi isu.
PM: Ya. Inflasi. Memang menjadi satu isu. Rakyat perlu lebih berhati-hati terhadap lebih banyak perkara yang akan datang, disebabkan oleh kenaikan harga minyak.
Sebelum 2004, harga minyak AS$50 setong tetapi telah melonjak ke paras lebih sekali ganda. Ini bukan mudah. Situasi ini tidak mudah dihadapi, tetapi apa yang boleh kita lakukan.
Apa yang kita lakukan ialah memastikan rakyat mempunyai lebih banyak wang dalam saku mereka.
Bukan hanya berikan mereka wang, tetapi mewujudkan peluang bagi mereka meraih pendapatan tambahan. Kita berikan mereka permit, lesen untuk membuka warung atau melaksanakan projek-projek kecil, perniagaan kecil-kecilan supaya mereka boleh mendapat sedikit wang bagi keluarga mereka.
Kita perlu wujudkan peluang bagi ini dan kita juga ada pembiayaan mikro.
Mudah bagi mereka mendapatkan wang daripada Bank untuk memastikan perniagaan kecil boleh berkembang dan menjana pendapatan. Pada masa yang sama, kita juga memastikan harga yang dibayar bagi perkhidmatan lain atau keperluan mereka, berada pada paras serendah mungkin.
Kita sedia maklum kita ada senarai barangan keperluan yang kita kawal pada paras harga tertentu.
Itu akan diteruskan. Kita akan terus mengadakan senarai ini dan memastikan jika harga meningkat, ia meningkat kerana tidak dapat dielakkan, sekurang-kurangnya ia meningkat pada kadar berpatutan.
Rumah-rumah dikenakan sewa termampu, harga termampu. Kita prihatin. Ini adalah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya. Pada masa yang sama kita perlu memastikan ekonomi kita berkembang kukuh. Kita mesti galakkan pelaburan.
Pelaburan-pelaburan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan. Ini amat penting.
Tetapi kita perlu melatih orang kita agar dapat mengambil kesempatan daripada peluang-peluang pekerjaan yang diwujudkan. Jika mereka tiada kemahiran, apa boleh mereka buat.
BTV: Jadi, semuanya adalah soal pengagihan sumber modal insan.
PM: Sumber-sumber mesti ada.
Jika pelabur datang, kita ada sumber modal insan yang baik, pekerja yang baik, ada disiplin, ada kemahiran, serta sikap yang betul dan cekap, mereka akan datang.
BTV: Maksudnya, Datuk Seri tentunya mahu bercakap tentang menamakan atau melantik barisan Kabinet baru, dari sudut pandangan pelabur, semua orang berminat (untuk mengetahuinya).
PM: Semua orang berminat.
BTV: Sebab mereka akan membantu Datuk Seri memerintah Malaysia bagi lima tahun akan datang. Jadi, beberapa portfolio tertentu, khususnya, jika boleh saya kata demikian, akan diteliti, iaitu portfolio kewangan dan perdagangan. Boleh Datuk Seri beri komen mengenainya.
PM: Mereka akan memerhati dengan teliti siapa yang akan ditempatkan di situ. Sama ada mereka berpuas hati atau tidak, sama ada kita yakin atau tidak. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Tentunya semua orang ada kaedah penilaian dsb. Ada juga muka baru.
BTV: Maksud saya, sejauh manakah Datuk Seri akan mengambil kira suara rakyat.
PM: Tentu sekali saya mesti mengambil kira suara rakyat. mana boleh kerajaan tidak mengambil kira suara rakyat, apa yang mereka mahu. Saya melalui empat tahun lepas. Saya tahu, ada banyak berkata yang mereka fikir saya tidak buat, yang mereka ingin buat. Mereka tanya Pak Lah kenapa Pak Lah tak mahu dengar cakap mereka. Inilah antara sebab mereka memberi reaksi sedemikian.
BTV: Sekarang ini, pilihan raya, kesudahannya, kejutan, apa jua, sudah agak reda. Jadi, perkara apakah yang Datuk Seri mahu rakyat tumpukan perhatian memandangkan pilihan raya sudah berlalu.
PM: Tumpukan perhatian kepada kerja mereka selepas pilihan raya dan pastikan kita mencapai produktiviti, keupayaan kita untuk bersaing labih baik hari ini daripada semalam. Keazaman untuk berjaya mesti ada. Bersamalah kita.
Kita akan lakukan apa yang terbaik untuk Malaysia.
BTV: Dan Datuk Seri rasa dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan semua cabaran yang Datuk Seri hadapi, Datuk Seri agak yakin, saya pasti Datuk Seri yakin, untuk terus mengorak langkah ke hadapan.
PM: Saya suka cabaran. Ia membuat saya bertenaga.
- BERNAMA
Sunday, March 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment